Fahami ketuanan Melayu dengan ilmu bukan emosi...
Tidak semena-mena isu ketuanan Melayu bergema lagi. Pemimpin nombor dua PAS Perak yang pernah menjadi Menteri Besar, membangkitkan semula ketika memberi tazkirah di dalam masjid.
Beliau menyifatkan konsep ketuanan Melayu yang diamalkan di negara ini sejak 55 tahun lalu mesti dihapuskan serta 'dihumban' keluar daripada arus politik negara. Katanya lagi, konsep ketuanan Melayu hanya menanam sifat kebencian terhadap kaum sekali gus membawa kepada ketidakadilan dan kezaliman. Hairannya, tiada angin pokok bergoyang. Apa tujuan membangkitkan isu ini?
Ya, saya tidak nafikan. Kemuliaan seseorang bukan terletak kepada ketuanan bangsanya, tetapi kepada keimanan dan ketakwaan. Tidak ada makna, bangsa mulia, agama tercela. Allah tidak ada akan tanya kita soal bangsa, keturunan dan darjat di alam barzakh. Yang ditanya adalah soalan-soalan bocor yang semua sedia tahu seperti siapa Tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa Nabi kamu? Jika dapat jawab, selamat. Jika tidak, tunggulah pembalasannya.
Lagipun dalam al-Quran tidak ada nama-nama bangsa seperti Melayu, Cina, India, mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak, kecuali kaum tertentu dalam lipatan sejarah. Al-Quran menjelaskan secara umum kejadian sesuatu bangsa yang diciptakan untuk saling mengenali. Bangsa yang paling mulia adalah kalangan mereka yang beriman dan bertakwa. Pastinya dalam hal ini setiap bangsa yang diciptakan ada asal-usul dan tanah tumpah darahnya.
Tidak berlaku dalam sejarah, sesebuah negara tiba-tiba mempunyai pelbagai bangsa. Lumrah yang berlaku, satu bangsa dicipta di satu tempat. Bangsa tersebut akan menjadi nama identiti negara, seperti Melayu-Tanah Melayu, Cina-China, India-India dan lain-lain. Bangsa-bangsa ini adalah tuan kepada tanah airnya sendiri. Jika ada hak-hak istimewa mereka, itu adalah perkara biasa, selagi mana ia tidak menindas dan menganiaya orang lain.
Pada saya, istilah ketuanan Melayu bukanlah punca Melayu benci kepada Cina dan India, atau sebaliknya seperti yang didakwa. Jika dihilangkan istilah ketuanan Melayu dan digantikan dengan ketuanan syarak sebagaimana yang disyorkan, apakah jaminan bahawa perkara negatif tersebut tidak berlaku? Bolehkah DAP akan menerima ketuanan syarak? Cakap biar berpijak di bumi nyata.
Permasalahan hari ini bukan berpunca daripada istilah ketuanan Melayu. Istilah tersebut tidak bersalah. Yang berdosa adalah manusia yang mengimplementasikan sesuatu sistem sehingga menimbulkan masalah. Misalnya, sistem pendidikan, perumahan, akhbar dan banyak lagi sosialisasi yang bersifat perkauman. Kenapa terlalu sukar untuk mengakui kelemahan ini?
Saya bersetuju dengan pendapat, bangsa sukar untuk mempertahankan agama, sebaliknya agamalah memperkuatkan bangsa. Mulianya Melayu bukan kerana Melayu tetapi kerana Islam. Melayu menjadi mulia setelah memeluk Islam 600 tahun lalu. Tanpa Islam, Melayu tidak ada apa-apa.
Saya harap beliau buatlah literature review mengenai ketuanan Melayu. Mungkin juga beliau boleh membaca buku saya bertajuk Masih Adakah ketuanan Melayu? Janganlah mencari publisiti murahan dengan memperalatkan istilah ini. Ketuanan Melayu bukan merujuk kepada Melayu itu tuan, bangsa lain itu hamba.
Selaku pengkaji, istilah ketuanan Melayu hanyalah satu identiti, merujuk kepada penduduk asal negara ini atau penduduk yang mula-mula membentuk kerajaan di Tanah Melayu. Ketuanan langsung tidak merujuk kepada ketidakadilan. Lagipun, keadilan bukanlah merujuk kepada 1=1, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perlu difahami bahawa unsur-unsur ketuanan Melayu terdapat dan termaktub dalam perlembagaan seperti hak istimewa Islam, Melayu dan Raja.
Lebih lanjut sila klik disini
No comments:
Post a Comment