Wednesday, March 27, 2013

Isu kerusi Parlimen Bagan Serai

Serah Alor Pongsu selesai masalah Pas Perak yakin kerelaan PKR menyerahkan kerusi Dun Alor Pongsu untuk ditandingi calon parti itu bakal menyelesaikan segala konflik perebutan kerusi yang tercetus melibatkan kedua-dua parti itu di peringkat akar umbi.

Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain berkata, pihaknya mengesahkan terdapat perbincangan dalaman antara Pas dan PKR diadakan dalam menyelesaikan konflik perebutan kerusi melibatkan Parlimen Bagan Serai dan Dun Alor Pongsu baru-baru ini.Menurutnya, dalam perbincangan itu, wakil PKR ada menawarkan penyerahan sama ada kerusi Parlimen Bagan Serai atau Dun Alor Pongsu kepada Pas sebagai jalan penyelesaian mewujudkan kembali kerjasama di antara Pas kawasan Bagan Serai dan PKR cabang Bagan Serai."Perbincangan(tawaran salah satu kerusi PKR kepada Pas) memang dilaksanakan atas dasar semangat setiakawan, tetapi segala keputusan muktamad akan diputuskan di peringkat Pusat."Saya percaya sekiranya Dun Alor Pongsu diserahkan kepada Pas, banyak permasalahan yang akan dapat diselesaikan (di peringkat akar umbi),"katanya sewaktu ditemui media selepas menghadiri program Jelajah Treler Negara Berkebajikan Pas di Taman Kerian di sini semalam.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas laporan beberapa blog pro-Pakatan Rakyat(PR) yang mendakwa satu perbincangan sulit telah diadakan di antara dua wakil PKR cabang Bagan Serai dan Pas kawasan Bagan Serai baru-baru ini.Perbincangan sulit itu diadakan berikutan tindakan nekad Pas kawasan Bagan Serai untuk meletakkan calon mereka bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai dan Dun Alor Pongsu yang dimiliki PKR, sekaligus memungkinkan berlakunya pertarungan tiga penjuru pada PRU kelak.Laporan blog itu turut mendedahkan dua tawaran berbeza dikemukakan oleh dua wakil PKR kepada Pas di mana wakil ketua PKR cabang Bagan Serai, Md Nasib Rahim menawarkan Parlimen Bagan Serai kepada Pas sebagai balasan sokongan mereka terhadap calon PKR di Dun Alor Pongsu, manakala kem Timbalan ketua PKR cabang Bagan Serai, Munawir Mahmud membuat tawaran sebaliknya.Abu Bakar berkata, sekiranya Dun Alor Pongsu diserahkan kepada Pas, parti itu sudah mengenal pasti beberapa calon yang berkualiti untuk ditampilkan pada pilihan raya umum(PRU) akan datang.Menurutnya, penyelesaian segera perlu dicapai bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru yang merugikan Pakatan Rakyat(PR) di samping mengekalkan semangat setiakawan dalam PR."Secara keseluruhannya, rundingan pembahagian kerusi dalam kalangan parti PR sudah selesai 90 peratus, manakala selebihnya diserahkan kepada Majlis Presiden PR untuk membuat keputusan muktamad."Soal perebutan kerusi tidak berlaku, sebaliknya tuntutan kerusi dibuat demi menjamin kemenangan PR pada PRU akan datang,"katanya.Abu Bakar turut mengisytiharkan Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Zawawi Abu Hassan bakal bertanding di Dun Gunung Semanggol menggantikan penyandangnya yang juga Yang Dipertua(YDP) Pas kawasan Bagan Serai, Ramli Tusin, manakala Adun Selinsing, Husin Din akan terus diberi kepercayaan mempertahankan kemenangannya di Dun Selinsing pada PRU akan datang.

Majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan pelakon Hantu Kak Limah 2, Pak Jabit atau nama sebenarnya Man Kadir itu turut menyaksikan pengisytiharan Abu Bakar sebagai calon Pas yang bakal bertanding di kerusi Dun Titi Serong menggantikan penyandangnya, Drs Khalil Idham Lim Abdullah.

No comments:

Post a Comment