Friday, November 21, 2014
Harga pasaran minyak lebih murah... kerajaan tarik subsidi
KEMASKINI DENGAN KENYATAAN PENUH KPDNKK DI DALAM Tiada lagi subsidi untuk RON95 dan diesel mulai 1 Disember kerana harga pasaran lebih rendah berbanding harga di pam.
Harga pasaran RON95 kini RM2.27 sedangkan harga di pam RM2.30.
Penetapan harga RON95 dan diesel pada 1 Disember bergantung pada harga pasaran minyak dunia sepanjang November.
Jika trend yang sama berterusan dipercayai rakyat Malaysia akan membayar harga minyak lebih murah mulai bulan depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar di Putrajaya pada Jumaat.
Menurut beliau, kaedah penetapan harga akan dibuat sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 yang dilaksanakan sejak Julai 2010.
"Harga runcit produk petroleum di negara ditentukan melalui kaedah Mekanisme Harga Automatic (APM) sejak 1983.
"Melalui APM, kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu di mana perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, melalui pengapungan terkawal itu, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya.
Harga runcit petrol RON95 kini ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.
BERIKUT KAMI SIARKAN KENYATAAN PENUH KPDNKK
PELAKSANAAN PENGAPUNGAN TERKAWAL (MANAGE FLOAT) BAGI PETROL RON95 DAN DIESEL
Dimaklumkan bahawa Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bermula dari 1 Disember 2014, penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal (managed float). Kaedah ini adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sedia ada sejak Julai 2010.
Harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Automatic Price Mechanism (APM) sejak tahun 1983. Melalui APM, Kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu dimana perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit.
Walau bagaimanapun, melalui pengapungan terkawal (managed float) ini, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya. Ini bermakna jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat. Begitu juga sebaliknya.
Sebagai contoh daripada 1 hingga 19 November 2014, purata harga RON95 di bawah APM menurun kepada RM2.27 seliter yang mana lebih rendah daripada harga runcit RM2.30 seliter. Dalam hal ini, Kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 31 November 2014 dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember. Jika trend ini berlarutan, adalah dijangkakan harga runcit RON95 bagi bulan Disember akan dikurangkan sewajarnya berdasarkan formula APM.
Pada masa ini harga runcit RON95 di stesen minyak adalah pada harga RM2.30 seliter dan diesel pada harga RM2.20 seliter. Mulai pada 1 Disember 2014, penetapan harga di stesen minyak akan bergantung kepada kaedah yang disebut di atas. Kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga produk kos setiap masa dan kadar pertukaran matawang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel.
Keputusan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel dibuat berikutan kejayaan pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON97. Langkah ini membuktikan hasrat Kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya berikutan penurunan harga minyak mentah dunia.
Kajian bagi pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan sebelum memutuskan pelaksanaan kaedah ini.
YB DATUK SERI HASAN BIN MALEK
21 NOVEMBER 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment