Friday, September 14, 2012

Bagaimana lelongan AP boleh turunkan harga kereta?




Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir hari ini menyindir dakwaan PKR bahawa pelelongan permit import (AP) bagi kereta luar negara akan menurunkan harganya.

Sebaliknya, Mukhriz berkata, bidaan AP itu akan menjadikan harga kereta menjadi lebih tinggi.

"Ketika kamu mahu turunkan harga kereta, kamu mahu menjual AP secara kepada pembida paling tinggi.

"Mereka (PKR) perlu jelaskan bagaimana perkara ini akan dilakukan apabila lelongan akan menambahkan RM50,000 hingga RM60,000 bagi setiap AP, tidak termasuk harga kereta," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Mukhriz turut menambah, jumlah RM10,000 bagi setiap AP pada masa ini bukan semata-mata untuk pendapatan kerajaan tetapi disalurkan kepada dana bagi membantu industri.

Agen Asing: PR, SUARAM, Apa Beza?


Sejak SUARAM terkantoi kerana menerima dana asing untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia dan bukannya berfungsi sebagai NGO yang membela hak asasi manusia, pertubuhan itu nampaknya agak senyap dan jarang lagi membuat kenyataan. 
Pendedahan ini sekali gus menutup isu kapal selam scorpene dan juga pembunuhan Altantuya yang kononnya berkaitan dengan pemimpin tertinggi kerajaan. Apa yang jelas kini ialah segala penipuan SUARAM untuk menggambarkan berlakunya rasuah dan juga penglibatan pemimpin tertinggi dalam pembunuhan adalah satu perancangan yang telah disusun rapi oleh mereka. 
Sehubungan dengan itu, adalah tidak mustahil bahawa kematian Altantuya itu sendiri adalah termasuk dalam perancangan mereka. Di tambah pula dengan versi-versi akuan bersumpah dan skrip U-turn dan S-turn yang ditulis oleh pihak PR dan SUARAM mengenai kes ini yang menyebabkan kita semakin musykil akan peranan sebenar PR/SUARAM dalam kes ini. 
Ini kerana, hanya orang yang bersalah yang mempunyai banyak versi dalam penceritaan. 
Sedangkan di pihak kerajaan, rekod menunjukkan bahawa jawapan mengenai scorpene mahupun Altantuya tidak pernah berubah. Malah, kerajaan dan Dato’ Seri Najib tidak tahu menahu mengenai kisah atau latarbelakang wanita tersebut. 
Yang begitu arif tentang sejarah Altantuya adalah SUARAM / PR sehinggakan mereka dapat mengesan Altantuya di Perancis pada ketika tertentu walaupun polis Perancis sendiri tidak punya rekod kemasukan Altantuya ke negara itu. Bukankah ini sesuatu yang pelik?
Sahlah bahawa isu sebenar di sini bukanlah scorpene mahupun Altantuya, tetapi SUARAM dan PR serta apa yang mereka sanggup lakukan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia. 
Mungkin menyedari bahawa mereka telah ‘terperangkap’ kali ini maka media mereka, terutamanya, blog Lim Kit Siang, telah memaparkan beberapa artikel yang cuba menggambarkan bahawa kerajaan Malaysia ‘kecut-perut’, berpeluh-peluh dan menggeletar apabila isu scorpene dibangkitkan SUARAM. Tetapi, apa yang menarik ialah puak-puak PR ini tidak langsung menafikan bahawa SUARAM dibiayai dana asing malah membela tindakan itu dengan alasan kerajaan juga menerima dana asing?
Alasan ini menunjukkan betapa pihak mereka terdesak dan kehilangan arah serta hujah untuk membela SUARAM. 
Mereka boleh terus mencuba untuk menggambarkan ‘ketakutan’ kerajaan, tetapi rakyat nampak siapa yang takut dan siapa yang tidak. Yang takut ialah mereka yang enggan bersumpah atas nama Allah S.W.T sedangkan Dato’ Seri Najib telah pun bersumpah sebanyak 4 kali bahawa beliau tidak pernah mengenali Altantuya.
Yang takut ialah mereka yang gelabah, kerap memusing cerita, membuat akuan bersumpah dan kemudian menariknya kembali, menulis dengan penuh butiran terperinci dan kemudian menafikannya pula. 
Dan yang takut adalah mereka-mereka yang lari keluar negara dan enggan berhadapan dengan mahkamah walaupun kononnya mempunyai bukti kukuh untuk mengesahkan ceritanya. 
Siapakah mereka-mereka ini jika bukan puak-puak Pakatan Rakyat sendiri. Kini, dengan kaitan SUARAM dengan agen asing semakin ketara, puak-puak PR ini semakin kecut-perut, dan berusaha sedaya upaya untuk meremehkan penerimaan dana asing tersebut. 
Jika PR tidak turut terlibat dengan agen asing, kenapa PR perlu membela agen asing seperti SUARAM? Kenapa pula PR tidak melihat kesalahan dalam menerima dana asing dan menjadi talibarut asing? 
Jawapannya ialah kerana SUARAM itu adalah PR. Maka kesimpulannya di sini ialah PR adalah agen asing a.k.a pengkhianat negara!

Karpal VS Nasha: Satu Lagi Sandiwara?

Sehingga ke hari ini, kita masih tidak dapat merasionalkan kerjasama antara DAP-PAS. Ini berdasarkan kedua-dua parti berpegang kepada prinsip yang bukan hanya berbeza, tetapi bertentangan atau berlawanan antara satu sama lain iaitu PAS memperjuangkan Islam dan DAP pula menentang Islam. 

Walaupun telah berkali-kali bertelagah, berbincang dan berbalah lagi dan kemudian berdamai lagi, kedua-dua parti masih belum dapat mencari titik pertemuan dalam perjuangan mereka tetapi masih kekal bekerjasama atas dasar ingin sangat berkuasa. 

Akibatnya, kedua-dua parti sering terperangkap dalam kata-kata sendiri yang ada kalanya bertentangan dengan perjanjian yang dimeterai mereka dan ada kalanya bertentangan dengan kehendak penyokong-penyokong sendiri dan juga sebaliknya. 

Justeru, tidak salah jika dikatakan bahawa asas kerjasama DAP-PAS sebenarnya adalah sandiwara. 

Akhir-akhir ini, kedua-dua parti nampaknya mula sedar bahawa akibat dari sikap dan tindakan mereka yang sering bercanggah, maka parti PAS semakin diragui di kalangan penyokong sendiri, dan begitu juga DAP yang mana pendirian dan sikap mereka mula dipersoal oleh masyarakat. 

Bagi memulihkan sokongan, DAP perlu terus dilihat oleh penyokongnya sebagai tegar, tegas dan keras menentang hudud dan segala bentuk ‘pengIslaman’ oleh PAS, manakala PAS pula perlu kembali dilihat tegar, tegas dan keras ingin melaksanakan hudud dan ‘mengIslamkan’ lagi Malaysia. 

Untuk itu, kedua parti perlu terus bertelagah secara lantang, cabar mencabar hatta mencemuh dan menghina sesama sendiri bagi meyakinkan penyokong masing-masing yang mereka benar-benar serius mempertahankan pendirian masing-masing serta memberi harapan bahawa parti mereka pasti akan dapat menguasai parti sekutu lain dalam PR apabila menang nanti. 

Berdasarkan hakikat ini, maka kita melihat adalah tidak mustahil pertelagahan antara Nasharuddin dan Karpal Singh berkenaan hudud hanyalah satu sandiwara, begitu juga apabila Nasharuddin menyarankan agar PAS mengkaji semula kerjasama dalam PR dan Karpal pula mengugut untuk menyaman beliau. 

Kerana itulah, tiada tindakan diambil ke atas Nasharuddin oleh PAS, dan Karpal juga masih belum mengemukakan saman terhadap Nasharuddin. 

Benar, kumpulan Anwarinas ingin benar agar Nasharuddin dipecat atas dasar beliau mewakili golongan ulama, tetapi mereka juga tahu yang mereka memerlukan Nasharuddin untuk terus melakonkan adegan ‘pejuang Islam’ bagi pihak PAS untuk menang pilihanraya. 

Oleh yang demikian, kita bolehlah menjangkakan sandiwara pertengkaran Nasha-Karpal akan berterusan seadanya sehinggalah pilihanraya tanpa ada apa-apa tindakan dari mana-mana pihak dari kedua-dua belah parti. 

Sandiwara ini hanya akan berakhir jika PR benar-benar berjaya memenangi PRU kali ini. Namun, ini bukan bermakna keadaan akan menjadi lebih baik, sebaliknya bakal menjadi jauh lebih buruk kerana walaupun mereka berhenti bersandiwara, mereka tidak akan berhenti bertengkar. 

Dalam ertika lain, pertengkaran mereka bukan lagi sandiwara tetapi nyata dan benar belaka dan rakyat pasti akan menanggung akibatnya.