Monday, October 01, 2012

Matematik mudah Meter air




Kelmarin 711 penduduk Selangor menyaman kerajaan negeri kerana mereka sehingga hari ini tidak pernah mendapat 20 meter padu air percuma sebagaimana yang dijanjikan Pakatan Rakyat dalam manifesto lalu.
Pastinya ada yang tertanya bagaimana ini boleh berlaku sedangkan di sepanjang lebuhraya lingkaran tengah dua dan sekitar Selangor terpampang dengan besarnya papan iklan yang dibayar oleh kerajaan Selangor memuji diri sendiri kerana merakyatkan ekonomi Selangor dan salah satu yang paling terang tertera ialah ‘Air Percuma’.
Sememangnya air percuma ada disalurkan kepada Rakyat Selangor dalam bentuk subsidi. Kerajaan Selangor akan menanggung bil anda untuk 20 meter padu yang pertama, bermaksud kalau anda menggunakan air sejumlah 23 meter padu untuk bulan ini anda hanya perlu membayar bil air untuk 3 meter padu berikutnya.
Selebihnya akan dituntut oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kepada kerajaan negeri pada kemudian hari.
Namun ada sedikit masalah dengan dasar ini kerana menurut takrifan kerajaan negeri, subsidi air akan diberikan berdasarkan meter. Ini tidak menjadi masalah untuk rumah-rumah teres, sebuah atau rumah separa berkembar (semi detached) kerana masing-masing menggunakan meter tersendiri.
Namun untuk rumah-rumah flat yang hampir kesemuanya menggunakan sistem meter pukal, menurut takrifan kerajaan Selangor mereka hanya menerima subsidi 20 meter padu biarpun meter pukal ini dikongsi oleh 100 buah keluarga.
Memang kebiasaan untuk rumah-rumah pangsa dan apartment mempunyai meter pukal, bil air mereka akan dibahagi secara purata kemudian pembayaran akan dibuat kepada pihak syarikat melalui badan pengurusan rumah pangsa atau apartment.
Namun setelah empat tahun berlalu, kerajaan negeri masih lagi mengekalkan takrifan bahawa mereka akan hanya subsidi 20 meter padu air untuk setiap meter biarpun berapa banyak sekalipun isi rumah yang berkongsi meter berkenaan.
Janji air untuk warga Selangor
Agak aneh kerana kalau tidak silap manifesto kerajaan Pakatan Rakyat ada menyatakan janji air percuma untuk warga Selangor dan bukan janji air percuma untuk meter-meter air Selangor.
Sekiranya anda sudah terbiasa dengan jawapan ahli politik Pakatan ataupun komen-komen dari penyokong tegar mereka pasti jawapan begini boleh kita nantikan:
“Syabas disalahkan kerana enggan mengubah sistem meter pukal dan atas sebab itulah kerajaan Selangor gagal untuk memberi air percuma, maka Syabas adalah BN dan ini semua salah Umno”.
Namun masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah dengan penggunaan Matematik yang nampak masih lagi tidak wujud dalam dasar- dasar Pakatan Rakyat.
Baik, katakanlah satu meter pukal digunakan untuk sebuah blok rumah pangsa yang menempatkan 50 isi rumah, bukankah dengan menggunakan ilmu kira-kira, kerajaan Selangor dengan mudahnya boleh mendarabkan jumlah isi rumah dengan jumlah subsidi yang dijanjikan?

Formula meter pukal
Formula Zaidel untuk sistem meter pukal. Subsidi Meter Pukal = RM11.50 x Jumlah Isi Rumah/Meter Air.
Saya memang sedar bahawa Penasihat Ekonomi Selangor yang bergaji RM1 adalah seorang graduan sastera dan barangkali tidak banyak menggunakan ilmu matematik sewaktu di Universiti dahulu tapi anda tidak perlu sekeping Sarjana Muda Kejuruteraan untuk menerbitkan formula yang semudah ini.
Malah apabila difikirkan bahawa tuan penasihat ini adalah bekas Menteri Kewangan Malaysia, patutlah kita nyaris digadaikan kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Mungkin akibat dari kelemahan penguasaan Matematik beliau tersilap kira akan jumlah ahli parlimen yang akan melompat sewaktu janji 16 September dahulu.
Formula di atas tidak memerlukan sebarang pengkamiran atau pembezaan apatah lagi ia memerlukan anda menggunakan buku sifir empat angka.
Jumlah perkiraan subsidi ini kemudiannya bolehlah diberikan kepada pihak pengurusan rumah pangsa berkenaan ataupun dibayar terus kepada syarikat air.
Terangkan kepada saya, bagaimana ini dikatakan sebagai merakyatkan ekonomi Selangor sedangkan kebanyakan penduduk susah, berpendapatan rendah di Selangor tinggal di rumah pangsa.
Malah lebih aneh, beberapa tahun lepas Kerajaan Selangor menaikkan bayaran sewa PPRT – Program Perumahan Rakyat Termiskin.
Apakah hebatnya dasar yang memberikan bantuan kepada golongan yang berkemampuan akan tetapi tidak disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Pastinya penyokong kuat Pakatan tegar akan nyatakan, eleeeh, air je 11 ringgit je apa barang BN nak kecoh! Lembu tu apa bikin! National Feedlot Corporation (NFC)? LEMBU DALAM KONDO!
Baiklah, anggap beginilah, pertamanya pihak NFC kini dalam mahkamah dan keduanya kalau nak diikutkan kontroversi hutang Talam Corporation Sdn Bhd adalah empat kali ganda lebih nilainya berbanding NFC yang mana MB Selangor masih belum lagi menunaikan janji untuk menerbitkan siasatan kertas putih.
Buku Jingga 
Malah kalau nak dikira jumlah hutang air kerajaan Selangor kepada rakyat, saya rasa sampai nilai bil berjuta-juta.
Nak kata apa sekalipun katalah, namun kalau janji semudah ini pun dilaksanakan dengan begitu bodoh dan dangkal bagaimana anda hendak menunaikan janji bulan dan bintang dalam Buku Jingga?
Ini baru air percuma, belum kira pendidikan percuma, tol percuma, minyak murah, kereta murah, subsidi dan macam-macam lagi. Malah janji-janji lama seperti penurunan cukai pintu, cukai perniagaan, tadika percuma dan banyak lagi masih lagi belum ditunaikan.
Ini bukan janji untuk kerajaan persekutuan, ini janji-janji yang dikatakan akan dilaksanakan kalau mereka dapat menjadi Kerajaan Negeri pada PRU lepas.
Namun barangkali apa yang dikatakan MB Selangor sewaktu ditanya oleh wartawan dapat menjawab segala persoalan ini: “Itu hanyalah Manifesto dan bukannya janji”.
Dahsyat, Manifesto itu bukanlah janji mengikut kata MB Pakatan maka apabila sekali lagi (Ketua Pembangkang) Anwar Ibrahim akan menjerit dalam ceramah menjanjikan sesuatu sekiranya dia menjadi Perdana Menteri. Ingatlah bahawa itu semua hanyalah ceramah dan bukannya janji.
*Zaidel Baharuddin, seorang jurutera elektronik, boleh diikuti di WirawanWeb.com, lipassepi.blogspot.com atau @Sinatra_Z. Beliau adalah kolumnis FMT.